Setelah menerima rawatan aku balik ke bilik hotel. Anak-anak sudah memesan makanan dan untuk aku mereka memesan bubur. Aku hanya mampu makan 2 suap dan tak mampu menelan lagi. Aku rasa sangat mengantuk tetapi perut masih sakit. Aku makan lagi sebiji ubat tahan sakit dan akhirnya aku tertidur. Jam 8.15 malam kami bergegas check out kerana sudah berjanji hendak menghantar kereta jam 9.00 malam dengan penyewa. Usai menghantar kenderaan aku masuk ke dalam airport dan duduk di kerusi menunggu dan tertidur lagi.
Screen departure time menunjukkan flight delay hingga jam 12.10 pagi. Bermakna ada 3 jam lagi untuk bertolak balik. Aku tidak merasakan masa kerana sepanjang waktu aku tertidur sahaja. Aku dikejutkan oleh anak-anak sewaktu departure. Masuk dalam kapal aku tertidur lagi sehinggakan aku tidak rasa kapal terbang take off dan touch down pon. Sedar-sedar dah sampai.
Kenderaan sudah sedia menunggu ketika kami sampai. Ketika itu sudah hampir jam 3.00 pagi. Suami terus memandu balik ke Bukit Beruntung ke rumah sewa anak sulong. Aku sambung tidur lagi. Keesokannya lebih kurang jam 10.00 pagi kami bertolak balik ke Penang.
Kami sampai di Penang lebih kurang jam 4 petang. Perut aku tetap tidak selesa tetapi kurang rasa sakitnya. Malamnya perkara sama berlaku. Sakit ulu hati berulang tetapi tidak lama. Selepas makan ubat akhirnya aku tertidur juga. Esok paginya aku bangun jam 5.30 pagi, bersiap, hantar anak ke sekolah dan pergi kerja macam biasa.
Serangan ketiga berlaku ketika aku berada di pejabat jam 4.00 petang 17.12.2024. Tepat jam 4.30 petang aku punch out dan bergegas pulang. Aku singgah sebentar di Lotus, Jelutong untuk membeli stok makanan. Firasat aku menyatakan aku akan masuk hospital malam ini. Sebenarnya aku betul-betul lemah tetapi aku gagahkan diri membeli barang keperluan. Aku risau anak-anak akan kelaparan jika aku warded nanti. Sampai di parkir aku tinggalkan barang-barang di kereta kerana tidak mampu mengangkatnya. Perlahan-lahan aku naik tangga. Rumahku di tingkat dua. Memang sudah kebiasaan aku menggunakan tangga kerana fobia lif tersangkut walaupun belum pernah mengalaminya lagi. Tiba di rumah, aku mengarahkan si bongsu mengambil barang-barang di kereta.
Sakitku kian parah. Aku mengeliat-ngeliat sepanjang masa. Suami menyuruh aku ke hospital sahaja kerana katanya aku bukan mengalami gastrik biasa. Ini sudah lebih dari gastrik. Aku akur.







