Rabu, 25 Disember 2024

Gallstone Part 1


Assalamualaikum Wbt dan salam sejahtera,

Kenapa Gallbladder?

Aku penderita batu dalam hempedu(gallstones). Pada tarikh keramat, 19.12.2024 pembedahan dibuat untuk mengeluarkan batu yang menumpang dalam hempedu aku. Tak banyak dan tak besar, laporan daripada doktor menyatakan batu itu berdiameter 2 cm sahaja. Aku nak share bagaimana dan kenapa batu hempedu ni boleh terjadi dan simptom-simptom yang selalu aku abaikan supaya jadi peringatan kepada ampa semua, terutamanya kaum hawa berumur 40an.  

Beberapa tahun lepas aku dipaksa membuat medical check up oleh jabatan. Keputusan ujian - bacaan kolestrol 7.1. Doktor hadiahkan aku seuncang ubat berbentuk bujur bewarna coklat pudar dan diarahkan datang semula untuk ujian darah 3 bulan kemudian. Doktor juga mengarahkan aku supaya bersenam dan makan banyak sayur-sayuran. 'Jangan makan banyak lemak, kurangkan berat badan', terngiang-ngiang di telinga nasihat daripada doktor berbangsa Cina itu. Aku dijadikan bahan gurauan rakan sekerja kerana menjadi Top Ranking kolestrol. Geram kerana menjadi bahan 'lawak' aku makan ubat setiap hari tetapi ada hari yang aku culas juga. Aku hanya manusia biasa.

Ujian kali kedua, kolestrol naik lagi - 7.2. Doktor tambahkan lagi stok ubat dan minta datang lagi selepas 3 bulan untuk ujian darah lagi. Dah makan ubat, tapi naik jugak?! Aku dah mula bosan dengan ubat. Aku berhenti makan ubat dan buat cara aku sendiri. Aku bertukar jadi fully vegetarian dan tidak mengonsumsi sebarang air bergula. Selama 2 bulan menjadi vegetarian, berat aku turun 2 kilo. Ujian darah ketiga - 6.0. Yes! Aku berjaya. Rasanya seperti aku menawan puncak Gunung Kinabalu. Selepas ujian darah kali ketiga aku lupakan terus ubat dan vegetarian. Aku menjadi karnivor kembali.

Dalam tahun-tahun kebelakangan, aku kerap kali mengalami sejuk dan demam selepas waktu maghrib, cepat letih dan kuat tidur. Orang utara panggil demam kura. Mulalah aku mengaitkan demam aku dengan perkara-perkara mistik. Gangguan-gangguan alam Melayu yang dimomokkan sama ada dari media sosial mahupun secara verbal di kalangan keluarga sendiri. Tak pernah salah gaya hidup aku. Haha. Yang salah hantu tu!

Tanda-tanda awal yang lain yang aku abaikan jugak, selalu terjadi sakit pada ulu hati, rasa perut kembung berangin macam tak lepas. Aku akan makan gaviscon dan angin itu akan hilang dalam beberapa jam. Dan ada satu hari, air kencing bertukar warna merah. Aku terkejut tapi aku pujuk hati, biasa la tu, kalau makan ubat memang air kencing berubah warna. Teori kepala otak aku sendiri.



Tiada ulasan: