Ahad, 29 Disember 2024

Gallstone Part 3 (Pap Smear)

Hari demi hari semakin kerap aku mengalami sakit ulu hati. Terutama jika siangnya aku makan makanan yang pedas atau bercili. Kebetulan pada 10.12.2024 aku ada temujanji dengan klinik kesihatan untuk ujian Pap Smear.

Jururawat(aku lebih suka panggil misi) memeriksa tekanan darah dan mengejutkan bacaan BP aku 164/100. Aku sendiri pon tidak percaya kerana sewaktu ujian kolestrol dahulu paling tinggi pon 149/90 sahaja. Aku dapat rasakan sesuatu tidak kena dengan badan aku pada ketika itu. Aku memberitahu misi yang aku sukar tidur pada waktu malam. Misi minta aku  baring sebentar di bilik rawatan. Alhamdulillah BP aku menurun kepada 139/85.

Selepas BP aku turun sedikit, barulah ujian Pap Smear dibuat. Misi menemui benjolan pada pangkal rahim dan Doktor dipanggil untuk pengesahan. Doktor menyatakan kemungkinan ia adalah Polip. Polip biasa terjadi pada wanita pertengahan umur kerana perubahan hormon. Doktor menasihatkan aku tidak perlu risau kerana polip bukanlah kanser dan terpulang kepada aku sekiranya aku berasa tidak selesa boleh rujuk ke hospital untuk pembedahan membuang polip tersebut. Keputusan Pap Smear akan diketahui pada 4.2.2025 nanti. Jeng,jeng,jeng!

Pada 13.12.2024, aku, suami dan 3 orang anak remaja kami ke Kota Kinabalu. Itulah kali pertama kami menjejakkan kaki ke Sabah. Seronoknya hanya Allah SWT yang tahu. Dapat pula berkumpul berlima, macam hari raya. Sejak anak-anak sambung belajar kami sudah jarang berkumpul. Suami tak habis-habis senyum. Gembira sungguh dia jikalau ada ketiga-tiga anak. Abang perlu belajar melepaskan anak. Anak tidak akan selamanya dengan kita. Sampai suatu masa mereka akan punya keluarga sendiri dan keluarga lain yang perlu diberi perhatian. Tak sampai hati pulak aku nak beritahu suami macam tu. Aku telan sendiri ayat-ayat tu. Ke aku sedang pujuk diri sendiri. Tak tahulah? Haha

Kami tiba di Kota Kinabalu jam 3 pagi, bergerak ke hotel dan berehat sebentar sebelum bangun jam 7 pagi untuk check out dari hotel. Kami ada destinasi yang hendak dituju. Mari-mari Cultural Village. Jam 8.00 pagi kami sudah check out dan bersarapan di Mcdonals sahaja kerana itu kedai halal yang paling mudah kami jumpa dan kebetulan sehala dengan tujuan kami.

Setelah bersarapan kami meneruskan perjalanan ke Mari-mari Cultural House.
Tiba di sana kami disambut mesra oleh 'tour guide' sumandak bernama Claire. Nama seindah orangnya. Tak hairanlah kalau ramai yang jatuh hati dengan sumandak Sabahan. Kulit putih mulus dan pandai bergurau. Hati  'manyak sinang' bak kata apek. Haha. Tour ini diakhiri dengan lunch buffet yang enak sekali. Alhamdulillah





Tiada ulasan: