Rabu, 25 Disember 2024

Gallstone Part 2

Serangan sakit pada ulu hati semakin menjadi-jadi pada Tahun 2024. Aku salahkan mi, koay tew, karipap dan cili api serta apa sahaja yang aku makan jika aku terkena serangan pada malam harinya. Karipap yang tak bersalah itu pon kena! Gaya hidup aku jugak yang betul. Haha. 

Aku memang pencinta makanan. Paling aku suka buffet. Kadang-kadang aku ajak suami makan buffet sarapan pagi di hotel atau restoran-restoran yang menawarkan buffet sarapan pada kadar harga mampu milik. Aku golongan M40 yang hakikatnya selepas ditambah tolak, aku layak bergelar B40. Kuikuikui

Kerapkali aku akan terjaga pada malam hari, sendawa sepanjang malam, sakit pada ulu hati yang menyengat. Aku tak mahu mengganggu suami dan anak-anak kerana bimbang tidur mereka terganggu tetapi ada kalanya aku kacau juga suami apabila tidak dapat menahan sakit. 'Nak mati dah, nak mati dah', ayat klise aku sekiranya ingin minta bantuan. Aku suruh dia urut perut dan tulang belikat aku dengan minyak gamat dari Langkawi. Mujur ada beberapa botol minyak gamat di rumah hasil ole-ole dari sahabat dan kaum keluarga yang berkunjung ke Langkawi. Jangan dipertikai sekiranya hanya ole-ole itu yang sering diterima. Anda tidak tahu bila keperluannya!


Apabila terkena serangan aku akan makan gaviscon, 2 biji panadol atau ubat penahan sakit sekaligus. Aku juga akan minum air suam panas. Tanpa preskripsi dari doktor. Aku akan makan apa ubat yang ada di rumah. Jangan tiru aksi ini. Doktor cakap ubat penahan sakit boleh merosakkan ginjal jika diambil berlebihan. Aku akan mundar mandir di dalam rumah dalam keadaan gelap seperti zombi sehingga aku tertidur 2 atau 3 jam kemudian. Esoknya jam 5.30 pagi aku dah bangun siapkan anak hantar pergi sekolah, beli sarapan dan makan di pejabat.

Sarapan aku beli dua set, 1 set untuk jam 8.00 pagi dan 1 set lagi untuk jam 10.00 pagi. Kebiasaannya aku akan mengantuk pada waktu tengah hari dan aku akan terlelap sebentar di bangku. Terima kasih bos kerana memahami. Terima kasih juga pada anak-anak buah yang dah faham sangat. Tiada orang akan mengganggu kalau aku pusing kerusi menghadap tingkap membelakangi pintu masuk. Yang baiknya aku akan dipanggil oleh anak buah sekiranya jam sudah 1.00 tengah hari. Aku bergegas balik ke rumah, solat dan makan apa ada di dalam peti sejuk. Kemudian bergegas pula ambil anak di sekolah dan beli makan tengah hari untuk dia. Hantar dia balik rumah dan aku kembali ke pejabat.




Tiada ulasan: